Followers



28.12.08

wanita solehah SrI Kandi UMMat

Assalamualaikum..
nurhayaton hazai..

artikel ini saya dapat dari seorang sahabat. Semoga jadi panduan dan renungan kita bersama.Sama-samalah kita hayati."Wanita dimasyhurkan kerana tidak ditonjolkan. Ia tersembunyi biarpun hadirnya menggegarkan ".Dia adalah Hawa. Dia dicipta sebagai wanita.Pelengkap lelaki yang mempunyai keistimewaan yang tuntas dan termahal di dalam menjana peribadi unggul dan berprestij. Dia adalah aspirasi setiap generasi. Bertepatan dengan fitrahnya yang lembut, berhikmah, halus dan tersendiri, ia mempunyai sentuhan ajaib yang terlalu sukar untuk diganggu gugat.Agung dan uniknya wanita kerana menjadi tapak semaian pertama benih-benih generasi yang bakal mewarnai dunia dengan agenda perjuangan. Peranannya di dalam memanusiakan manusia tidak pernah dinafikan oleh kebenaran sejarah.Dilahirkan sebagai wanita, insan yang dianggap lemah ini tidak pernah teragak-agak untuk bergandingan dengan rijal sebagai serikandi yang mekar dan terus mewangi di taman dakwah dan jihad. Senyumnya adalah rahsia yang tersingkap, tangisannya adalah rasa hati dan kemarahannya adalah pemberontakan kasih sayang. Amat malang, kewujudan makhluk ciptaan Tuhan yang merupakan sebahagian daripada juzu’ alam ini disalahertikan oleh golongan jahiliah suatu ketika dahulu. Bagi mereka, wanita adalah lambang kehinaan, punca kepapaan, satu kaum yang tidak bernilai dan boleh ditanam hidup-hidup. Memanjangkan hayat wanita bermakna membenarkan kehinaan bertapak di dalam keluarga. Wanita adalah golongan terpinggir yang tidak pernah diiktiraf haknya di dalam meneruskan kehidupan mereka.Kebencian mereka terhadap wanita didedahkan oleh Allah di dalam Al Quran ketika kalam kepastianNya dituturkan, yang bermaksud :

" Dan apabila seseorang dari mereka diberi khabar gembira dengan kelahiran anak perempuan, hitamlah ( merah padamlah ) mukanya dan dia sangat marah.Ia menyembunyikan dirinya dari orang ramai,disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan ataukah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)?. Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu ".-An Nahl - 58-59.

Kedatangan Islam meninggikan martabat wanita untuk bergerak seiring dengan kaum lelaki sebagai sayap kiri perjuangan.

FirmanNya yang bermaksud :"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasulnya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana ".- At Taubah- 71

Kelahiran Saidatina Khadijah, Aisyah, Fatimah, Asma’,Rabiah Al Adawiah dan serikandi-serikandi pejuang didikan madrasah Rasulullah menyerlahkan imej wanita sebagai ratu manusia dan ibu yang telah berjaya membentuk generasirabbani. Saidatina Khadijah adalah lambang keunggulan wanita muslimah. Sebaris nama itu sering menjadi sebutan dibibir Rasulullah biarpun pada hari-hari selepas kematiannya. Dia adalah wanita pertama yang menjadi penyeri dunia Rasulullah.Fatimah yang solehah punya peribadi anggun yang menjadi nadi kepada kelangsungan hayat Saidina Ali. Dia tidak suka melihat lelaki dan tidak suka pula dilihat oleh lelaki. Asma’ telah berjaya melahirkan Abdullah Az Zubir, panglima yang gagah berani melalui kemantapan tarbiyyahnya. Rabiah Al Adawiah merupakan sumber inspirasi cinta yang sentiasa merindui Tuhannya. Dia tenggelam di dalam keasyikan cinta Al Haq yang sering melafazkan alunan resah pada setiap penjuru dosa." Bagaimana aku tidak bersedih sedangkan aku tidak tahu samada Dia marah atau redha denganku "." Alangkah buruknya hamba yang menyembah Allah S.W.T semata-mata mengharapkan syurgaNya dan takutkan api nerakaNya.Seandainya Allah tidak menjadikan syurga dan neraka, apakah kamu akan menyembahNya ? ".Itulah wanita-wanita yang sering menggegarkan dunia, menjadi idola setiap lelaki beriman.

Era pasca modenisme menyaksikan wanita-wanita yang seumpama itu kian lumpuh dan tandus. Wanita biasanya dikaitkan dengan kelemahan yang sering menuntut kebebasan. Mereka lebih mementingkan kecantikan zahir untuk dipertontonkan tanpa menekankan kecantikan diri ( batin ) yang lebih universal dan abadi. Wanita diekspliotasi oleh setiap golongan yang tidak memahami fungsi kewujudannya. Wanita bukan lagi pakar yang mempunyai penawar ampuh yang dapat merawat penyakit ummah yang semakin kronik dan bervariasi.

Kebanyakan mereka adalah wanita adunan barat yang sering mengaplikasikan imej Diana, Madonna, Elizabeth Taylor, atau Whitney Houtosn sebagai budaya.Mereka adalah puteri,ratu dan Cinderella abad ke 21 yang menjadi igauan dan impian wanita-wanita yang berpenyakit hati.Pastinya setiap wanita muslimah merasa terpanggil untuk merubah situasi ini. Emosi dan psikologi muslimah akan tertampar pedih melihat kemelut yang tercetus di abad ini. Ke mana hilangnya Khadijah,Aisyah,Fatimah, dan Rabiah di dalam diri wanita hari ini ? Apakah kehilangan mereka merupakan penamat kepada perjuangan muslimah atau pencetus kelahiran baru yang lebih gemilang ?

Biarlah ilmu dan kesedaran yang menentukan keinginan kita untuk bertindak.Cukuplah perkhabaran daripada Rasulullah yang mengatakan bahawa kebanyakan wanita adalah penghuni neraka sebagai peringatan yang membataskan segala pergerakan dan kata-kata.

Marilah kita sama-sama mengutip sejarah keagungan wanita solehah terdahulu untuk kita warnakan kehidupan serikandi alaf baru. Kita adalah penerus kesinambungan semangat waja muslimah solehah yang bakal melahirkan seribu Asma’, Khadijah, Fatimah, Rabiah dan seumpamanya.

" DUNIA ADALAH PERHIASAN. SEBAIK-BAIK PERHIASAN DUNIA IALAH WANITA YANG SOLEHAH".- riwayat Muslim

0 comments:

Daisypath Anniversary tickers

kedamaian

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...