Subuh yang hening, disaat kipas berputar laju di siling, kubuka mataku, kupandang pada dinding-dinding yang dihias indah, lalu terukir senyum pada wajah. Ku menjeling pada handphone di sebelah, masih terpampang jelas di skrin, kata-kata madah dari ‘dia’, indah, gembira, bahagia, tiada lafaz terkata, hanya senyuman sebagai bukti, betapa hatiku gumbira, di saat rohku menginjak ke dunia nyata, setelah seketika bersiar di alam mimpi yang indah....
Aneh, betapa pagi ini, ku rasa tubuhku berkobar-kobar untuk berhadapan dengan dunia, ingin sahaja aku menjerit, berkata pada isi dunia, betapa aku amat berkobar untuk berhadapan dengannya, hanya kerana kata peringatan dari ‘dia’ yang mengingatkan aku agar tidak terus melayan lena, lalu leka pada tugas seorang hamba, untuk berdiri sujud diwaktu subuh dinihari....
‘Assalamu‘alaikum, awak, dah subuh, bangunlah, jangan lupa solat subuh ya...”
Ringkas tapi hatiku puas. Pendek tapi hatiku terusik. Sungguh, ‘dia’ adalah yang terbaik untukku. Biarkan kata nista dan pandangan sinis yang menghina menghunjam ke dalam diriku, aku tidak kisah. Mereka tidak pernah merasa, atau belum lagi terasa, betapa indahnya pabila dua insan sedang bercinta!
“DENGARLAH WAHAI DUNIA,
SESUNGGUHNYA AKU TELAH DIBIUS CINTA!!!
Hebat, inilah kuasa cinta. Manusia yang sebelum ini matanya jelas tidak pudar, terus kabur bahkan ada yang buta. Manusia yang mindanya kelas pertama, punya ciri kepimpinan yang gah, tunduk menjadi seekor kerbau yang dicucuk hidungnya. bahkan manusia yang sentiasa menjaga pandangannya, tunduk hatinya pada yang rabb yang esa, bahkan jiwanya berkobar hanya untuk agama, jatuh tersembam, tertipu dan terpedaya, tersungkur dilembah yang menghina.
Inilah penangan, kesan kehebatan kuasa cinta! Cinta pada istilah penghuni yang jiwanya hanya untuk dunia.
Betapa kuasa ini amat hebat, mampu merebahkan tamadun dunia yang gah seperti Rom, mampu memusnahkan pentadbiran negara seperti cerita klasik kesultanan Melaka dengan putri gunung ledangnya. Apabila manusia terpedaya pada istilah cinta yang diertikan pada dunia. Hancur, hampus, kabur, pupus! Takkan wujud istilah modal insan kelas pertama. AKAN MELAYU HILANG DI DUNIA! Menafikan kata Tuah, panglima kerajaan Melaka.
Aku, baru sahaja selesai membaca buku tulisan Ustaz Hasrizal a.k.a. Saiful Islam, tajuknya ‘Bercinta Sampai Ke Syurga’, entah untuk kali ke berapa aku mengkhatamkannya. namun hatiku tak juga puas untuk membaca. Banyak manfaat, tiap kali aku mengulanginya (pada korang yang belum baca, belilah. Banyak manfaatnya), pasti akan membuatkan aku termenung, bermuhasabah.
Setiap artikelnya dalam bahagian praperkahwinan amat memberi kesan. Seakan orang yang terhangguk-hangguk melayan ngantuk, dibaling dengan bantal (cube korang bayangkan betapa terkejutnye dia), begitulah aku. Lama dulu aku sentiasa mengingatkan diriku, agar tidak leka dibuai kuasa biusan cinta. Namun kini, aku, bukan hanya terleka, bahkan terlena dibuai angin cinta sepoi-sepoi bahasa.
Peringatan Ustaz Hasrizal agar kita menceduk ibrah dari kisah Nabi Yusuf dan Zulaikha. Bagaimana Allah menukilkan kisah, saat Zulaikha mabuk dibius cinta. Maka tampilkanlah kisah itu, dan kaitkan pada diri, tepuk dada tanya hati, muhasabah diri, tanya iman.
“Dan (Sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: isteri Al-Aziz itu memujuk hambaNya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, Sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke Dalam lipatan hatinya; Sesungguhnya Kami memandangnya berada Dalam kesesatan Yang nyata.”
Peduli apa dengan orang kata, adat manusia takkan senang melihat orang lain bahagia. Ada sahaja yang tak kena. Andai mereka merasa apa yang aku rasa, pasti mereka seperti aku juga, bahkan mungkin lebih, kerana aku bercinta bukan kerana dunia, tapi kerana agama....
Tertipu bahkan terpedaya, aku dan diriku, menafikan yang aku telah bercanggah, terpisah jauh dari kebenaran yang nyata. Kerana cinta yang bertopengkan agama, ku tutup mataku dari kata-kata mereka. Bahkan ingin sahaja aku melakukan sama seperti yang dilakukan Zulaikha.
“Maka apabila ia (Zulaikha) mendengar cacian mereka, Dia pun menjemput mereka dan menyediakan satu jamuan untuk mereka, serta memberi kepada - tiap seorang di antara mereka sebilah pisau. dan pada ketika itu berkatalah ia (kepada Yusuf): "Keluarlah di hadapan mereka". maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan mereka Dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata: "Jauhnya Allah dari kekurangan! ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat Yang mulia!”
Baru mereka sedar, pesona cinta saat jari terhiris dan terluka. Baru diam mulut mereka, seperti diamnya mulutku apabila diriku merasakan pesona asyiknya cinta. Andai dulu mulut ini yang sering berbicara bermadah mengatakan cinta itu salah, kini tiada lagi. Diam terkunci, terkatup, tertutup. Sekali lagi, tiada lafaz yang terkata. Kerana kuasa cinta memadamkan segala-galanya.
Aku ingin menangis! Aku ingin menangis! Aku ingin air mataku mengalir. Bukan kerana bahagia, tetapi kerana merana, meronta, kerana aku rasa bersalah, kerana aku tahu ini semua salah. Ku tinggalkan jiwaku jauh dari Allah. Kubutakan mataku dari petunjuk dan hidayah. Ku pekakkan telinga dari kata nasihat, ceramah dan khutbah. Aduhai tuhan... aku ingin menangis! Aku ingin menangis!
Apa erti cinta, andai aku diserang rasa bersalah!
Apa erti cinta, andai diriku membenci mereka yang benar-benar mencintai diriku!
Dan apa erti cinta anda aku menjauhi daripada Yang Maha Pemberi Anugerah Cinta....
Ya Allah, sungguh aku tidak sekuat Yusuf, yang meminta agar dipenjara, semata untuk memelihara cintanya pada-Mu Yang Maha Esa.
Sungguh aku cemburu pada Yusuf, yang membiarkan dirinya terseksa terpenjara, diseksa dipenjara. Saat ini aku rindu dan cemburu. Biarlah diriku diseksa seperti Yusuf, dipenjara seperti Yusuf, aku rela, daripada aku terus terjebak dalam tipu daya cinta...
Seperti mana sesalnya Yusuf berhadapan dengan ujiannya, sebegitu juga aku. Sungguh aku berkata benar, kadangkala aku menyesal, ingin sahaja kuhambunkan diriku ke dalam lembah keseksaan, daripada diriku terseksa dalam kebahagian keduniaan.
Dengarkan kata hatiku wahai dunia!
AKU TIDAK MAHU TERGOLONG
DI KALANGAN MEREKA YANG TIDAK MENGAMALKAN ILMUNYA!!!
Aku ingin menangis.... Aku ingin menangis... kerana aku telah dibius cinta. kerana aku telah dikhayalkan oleh cinta... Aku ingin menangis... Aku ingin menangis... bahkan... sebenarnya hatiku telah lama menangis, semenjak di awal aku bertemu dengan si dia.... dari awal aku mengetahui, aku telah dibius cinta....
rujukan:
1. Bercinta hingga ke Syurga – Ustaz Hasrizal Abd Jamil
2. Surah Yusuf : ayat 30 – 33
nota kecil: subhanallah ya Allah ampunilah diriku yg lemah ini..aku tidak ingin jauh dr hidayah Mu ya Allah..pegang erat lah diri ini supaya tidak jauh dr Mu ya Allah..amin..amin..
0 comments:
Post a Comment