
Followers
3.11.09
~sabar...~

29.10.09
~terima kasih sahabat~

Sungguh aku tidak bermaksud begitu
Tidak pula mahu menguji
Bukan bermaksud melarikan diri
Atau mahu menambah susah dihati
Aku cuma Insan biasa seperti kamu
Yang punya perasaan tidak tertahan
Yang punya kerisauan pada masa depan
Yang punya airmata tanda duka
Yang punya senyum tanda suka
Yang punya beban menghempap jiwa
Maaf atas khilafku sahabat
Andai membuat engkau merasa
Tidak enak dan tidak suka
Tidak pernah terniat dihati
Untuk biarkan ia terjadi
Mungkin ini kelemahanku
Maafkan aku...maafkan aku
Mari kita sama-sama memohon
Diberi kekuatan dari tuhan
Dengan ikhlas dan pengharapan
Agar ranjau perjuangan ini
Akan dipermudah tuhan
Dan aku akan sentiasa berdoa
Agar dapat terus berada disisimu
Meminjamkan bahu dan pancaindera
Moga perjuangan kita tidak kalah
Jiwa kita tetap gagah
Dan iman kita semakin bertambah
28.10.09
~aku dibius cinta...ampunkan aku ya Allah~

Subuh yang hening, disaat kipas berputar laju di siling, kubuka mataku, kupandang pada dinding-dinding yang dihias indah, lalu terukir senyum pada wajah. Ku menjeling pada handphone di sebelah, masih terpampang jelas di skrin, kata-kata madah dari ‘dia’, indah, gembira, bahagia, tiada lafaz terkata, hanya senyuman sebagai bukti, betapa hatiku gumbira, di saat rohku menginjak ke dunia nyata, setelah seketika bersiar di alam mimpi yang indah....
Aneh, betapa pagi ini, ku rasa tubuhku berkobar-kobar untuk berhadapan dengan dunia, ingin sahaja aku menjerit, berkata pada isi dunia, betapa aku amat berkobar untuk berhadapan dengannya, hanya kerana kata peringatan dari ‘dia’ yang mengingatkan aku agar tidak terus melayan lena, lalu leka pada tugas seorang hamba, untuk berdiri sujud diwaktu subuh dinihari....
‘Assalamu‘alaikum, awak, dah subuh, bangunlah, jangan lupa solat subuh ya...”
Ringkas tapi hatiku puas. Pendek tapi hatiku terusik. Sungguh, ‘dia’ adalah yang terbaik untukku. Biarkan kata nista dan pandangan sinis yang menghina menghunjam ke dalam diriku, aku tidak kisah. Mereka tidak pernah merasa, atau belum lagi terasa, betapa indahnya pabila dua insan sedang bercinta!
“DENGARLAH WAHAI DUNIA,
SESUNGGUHNYA AKU TELAH DIBIUS CINTA!!!
Hebat, inilah kuasa cinta. Manusia yang sebelum ini matanya jelas tidak pudar, terus kabur bahkan ada yang buta. Manusia yang mindanya kelas pertama, punya ciri kepimpinan yang gah, tunduk menjadi seekor kerbau yang dicucuk hidungnya. bahkan manusia yang sentiasa menjaga pandangannya, tunduk hatinya pada yang rabb yang esa, bahkan jiwanya berkobar hanya untuk agama, jatuh tersembam, tertipu dan terpedaya, tersungkur dilembah yang menghina.
Inilah penangan, kesan kehebatan kuasa cinta! Cinta pada istilah penghuni yang jiwanya hanya untuk dunia.
Betapa kuasa ini amat hebat, mampu merebahkan tamadun dunia yang gah seperti Rom, mampu memusnahkan pentadbiran negara seperti cerita klasik kesultanan Melaka dengan putri gunung ledangnya. Apabila manusia terpedaya pada istilah cinta yang diertikan pada dunia. Hancur, hampus, kabur, pupus! Takkan wujud istilah modal insan kelas pertama. AKAN MELAYU HILANG DI DUNIA! Menafikan kata Tuah, panglima kerajaan Melaka.
Aku, baru sahaja selesai membaca buku tulisan Ustaz Hasrizal a.k.a. Saiful Islam, tajuknya ‘Bercinta Sampai Ke Syurga’, entah untuk kali ke berapa aku mengkhatamkannya. namun hatiku tak juga puas untuk membaca. Banyak manfaat, tiap kali aku mengulanginya (pada korang yang belum baca, belilah. Banyak manfaatnya), pasti akan membuatkan aku termenung, bermuhasabah.
Setiap artikelnya dalam bahagian praperkahwinan amat memberi kesan. Seakan orang yang terhangguk-hangguk melayan ngantuk, dibaling dengan bantal (cube korang bayangkan betapa terkejutnye dia), begitulah aku. Lama dulu aku sentiasa mengingatkan diriku, agar tidak leka dibuai kuasa biusan cinta. Namun kini, aku, bukan hanya terleka, bahkan terlena dibuai angin cinta sepoi-sepoi bahasa.
Peringatan Ustaz Hasrizal agar kita menceduk ibrah dari kisah Nabi Yusuf dan Zulaikha. Bagaimana Allah menukilkan kisah, saat Zulaikha mabuk dibius cinta. Maka tampilkanlah kisah itu, dan kaitkan pada diri, tepuk dada tanya hati, muhasabah diri, tanya iman.
“Dan (Sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: isteri Al-Aziz itu memujuk hambaNya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, Sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke Dalam lipatan hatinya; Sesungguhnya Kami memandangnya berada Dalam kesesatan Yang nyata.”
Peduli apa dengan orang kata, adat manusia takkan senang melihat orang lain bahagia. Ada sahaja yang tak kena. Andai mereka merasa apa yang aku rasa, pasti mereka seperti aku juga, bahkan mungkin lebih, kerana aku bercinta bukan kerana dunia, tapi kerana agama....
Tertipu bahkan terpedaya, aku dan diriku, menafikan yang aku telah bercanggah, terpisah jauh dari kebenaran yang nyata. Kerana cinta yang bertopengkan agama, ku tutup mataku dari kata-kata mereka. Bahkan ingin sahaja aku melakukan sama seperti yang dilakukan Zulaikha.
“Maka apabila ia (Zulaikha) mendengar cacian mereka, Dia pun menjemput mereka dan menyediakan satu jamuan untuk mereka, serta memberi kepada - tiap seorang di antara mereka sebilah pisau. dan pada ketika itu berkatalah ia (kepada Yusuf): "Keluarlah di hadapan mereka". maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan mereka Dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata: "Jauhnya Allah dari kekurangan! ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat Yang mulia!”
Baru mereka sedar, pesona cinta saat jari terhiris dan terluka. Baru diam mulut mereka, seperti diamnya mulutku apabila diriku merasakan pesona asyiknya cinta. Andai dulu mulut ini yang sering berbicara bermadah mengatakan cinta itu salah, kini tiada lagi. Diam terkunci, terkatup, tertutup. Sekali lagi, tiada lafaz yang terkata. Kerana kuasa cinta memadamkan segala-galanya.
Aku ingin menangis! Aku ingin menangis! Aku ingin air mataku mengalir. Bukan kerana bahagia, tetapi kerana merana, meronta, kerana aku rasa bersalah, kerana aku tahu ini semua salah. Ku tinggalkan jiwaku jauh dari Allah. Kubutakan mataku dari petunjuk dan hidayah. Ku pekakkan telinga dari kata nasihat, ceramah dan khutbah. Aduhai tuhan... aku ingin menangis! Aku ingin menangis!
Apa erti cinta, andai aku diserang rasa bersalah!
Apa erti cinta, andai diriku membenci mereka yang benar-benar mencintai diriku!
Dan apa erti cinta anda aku menjauhi daripada Yang Maha Pemberi Anugerah Cinta....
Ya Allah, sungguh aku tidak sekuat Yusuf, yang meminta agar dipenjara, semata untuk memelihara cintanya pada-Mu Yang Maha Esa.
Sungguh aku cemburu pada Yusuf, yang membiarkan dirinya terseksa terpenjara, diseksa dipenjara. Saat ini aku rindu dan cemburu. Biarlah diriku diseksa seperti Yusuf, dipenjara seperti Yusuf, aku rela, daripada aku terus terjebak dalam tipu daya cinta...
Seperti mana sesalnya Yusuf berhadapan dengan ujiannya, sebegitu juga aku. Sungguh aku berkata benar, kadangkala aku menyesal, ingin sahaja kuhambunkan diriku ke dalam lembah keseksaan, daripada diriku terseksa dalam kebahagian keduniaan.
Dengarkan kata hatiku wahai dunia!
AKU TIDAK MAHU TERGOLONG
DI KALANGAN MEREKA YANG TIDAK MENGAMALKAN ILMUNYA!!!
Aku ingin menangis.... Aku ingin menangis... kerana aku telah dibius cinta. kerana aku telah dikhayalkan oleh cinta... Aku ingin menangis... Aku ingin menangis... bahkan... sebenarnya hatiku telah lama menangis, semenjak di awal aku bertemu dengan si dia.... dari awal aku mengetahui, aku telah dibius cinta....
rujukan:
1. Bercinta hingga ke Syurga – Ustaz Hasrizal Abd Jamil
2. Surah Yusuf : ayat 30 – 33
nota kecil: subhanallah ya Allah ampunilah diriku yg lemah ini..aku tidak ingin jauh dr hidayah Mu ya Allah..pegang erat lah diri ini supaya tidak jauh dr Mu ya Allah..amin..amin..
25.10.09
~tentang dia~

Seorang lelaki yang sungguh mencintai-MU lebih dari segala sesuatu.
Seorang lelaki yang akan meletakkanku pada kedudukan kedua di hatinya setelah Engkau.
Seorang lelaki yang hidup bukan untuk dirinya sendiri tetapi untuk-MU.
Seorang lelaki yang mempunyai sekeping hati yang sungguh mencintai dan dahaga akan Engkau dan memiliki keinginan untuk menauladani sifat-sifat agung-Mu.
Seorang lelaki yang mengetahui bagi siapa dan untuk apa dia hidup, sehingga hidupnya tidaklah sia-sia.
Seorang lelaki yang memiliki hati yang bijak bukan hanya sekadar otak yang cerdas.
Seorang lelaki yang tidak hanya mencintaiku tetapi juga menghormati aku.
Seorang lelaki yang tidak hanya memujaku tetapi dapat juga menasihati ketika aku berbuat salah.
Seorang lelaki yang mencintaiku bukan kerana rupaku tetapi kerana hatiku.
Seorang lelaki yang dapat menjadi sahabat terbaikku dalam tiap waktu dan situasi.
Seorang lelaki yang dapat membuatku berasa sebagai seorang kekasih ketika berada di sisinya.
Seorang lelaki yang memerlukan sokonganku sebagai peneguhnya.
Seorang lelaki yang memerlukan doaku untuk kehidupannya.
Seorang lelaki yang memerlukan senyumanku untuk mengatasi kesedihannya.
Seorang lelaki yang memerlukan diriku untuk membuat hidupnya menjadi sempurna.
Dan aku juga meminta...
Buatlah aku menjadi seorang wanita yang dapat membuat lelaki itu bangga.
Berikan aku sekeping hati yang sungguh mencintai-MU, sehingga aku dapat mencintainya dengan cinta-MU, bukan mencintainya dengan sekadar cintaku.
Berikanlah sifat-MU yang lembut sehingga keindahanku datang dari-MU bukan dari luar diriku.
Berilah aku tangan-MU sehingga aku selalu mampu berdoa untuknya.
Berikanlah aku penglihatan-MU sehingga aku dapat melihat banyak hal baik dalam dirinya dan bukan hal buruk saja.
Berikan aku mulut-MU yang penuh dengan kata-kata kebijaksanaan-MU dan pemberi semangat, sehingga aku dapat mendukungnya setiap hari, dan aku dapat tersenyum padanya setiap pagi.
Dan bilamana akhirnya kami akan bertemu, aku berharap kami berdua dapat mengatakaan, ''Betapa besarnya Engkau kerana telah memberikan kepadaku seseorang yang dapat membuat hidupku menjadi sempurna.''
Aku mengetahui bahawa Engkau menginginkan kami bertemu pada waktu yang tepat dan Engkau akan membuat segala sesuatunya indah pada waktu yang Kau tentukan.
ameen ya Rabb...
24.10.09
~ ExAm~
18.10.09
Menerima hakikat manusia akan Di Sulami Dengan Ujian
Assalamualaikum wbtnurhayaton hazai
Ada tiga peringkat mengenai sikap manusia ketika ditimpa sesuatu musibah.
1. Pada permulaannya, berlaku penolakkan. Di peringkat ini, manusia tidak menerima hakikat bahawa sesuatu telah hilang darinya, sesuatu telah tiada, sesuatu telah menimpa dan sebagainya. Dia akan cuba lari dari hakikat dan masalah. Jika dia cuba lari dari menerima hakikat, jiwanya akan semakin tertekan, hatinya semakin sempit dan fikirannya semakin keliru.
Di dalam Islam, kita perlu jujur menerima hakikat diri kita. Semakin berani kita untuk jujur menerima hakikat diri semakin tenang jiwa kita. Sebab itu di dalam Islam ada konsep muhasabah. Muhasabah bererti menerima kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri. Jika kita tidak dapat menerima hakikat diri kita, maka kita tidak akan dapat membuat perubahan di dalam diri kita.
2. Peringkat kedua, manusia akan mengeluh, marah-marah, mendongkol, menyalahkan orang lain dan yang paling parah ialah apabila menyalahkan takdir. Di peringkat ini, mereka telah menerima hakikat bahawa mereka sedang melalui masa getir, tetapi mendongkol dengan keadaan diri.
Sesungguhnya, mengeluh tidak merubah apa-apa. Sikap marah-marah juga tidak merubah apa-apa. Dia akan membuatkan kita semakin tertekan dan terhimpit. Sudahlah ditimpa musibah, hati pula hilang bahagia. Di dalam Islam, kita ada konsep muraqabah, iaitu rasa sentiasa diawasi oleh Allah. Hari ini jika kita senang, Allah mahu melihat apa yang kita lakukan begitu juga apabila kita susah. Allah akan melihat apa yang akan kita lakukan. Semua, susah dan senang ada nilaian pahala jika kita membuat sesuatu dengan betul. Jika kita rasa sentiasa diawasi Allah, kita akan selalu mencari keredhaannya. Waktu senang kita tidak lupa Allah, waktu susah kita bergantung penuh denganNya. Akhirnya, senang dan susah tetap tenang dan tetap bahagia.
3. Peringkat ketiga barulah biasanya manusia menerima segala apa ketentuan hidupnya. Barulah tidak marah-marah, tidak mengeluh dan sebagainya. Walaubagaimana pun, jika salah kefahamannya, manusia akan putus asa, hilang harapan, hilang semangat, hilang rasa untuk terus berusaha. Akhirnya, hidupnya semakin murung, semakin tidak ceria dan semakin kusut.
Di dalam Islam, apabila kita telah menerima kita di dalam keadaan susah, ada konsep tawakkal. Tawakkal ialah kita berusaha dan bakinya kita serahkan pada Allah untuk menyempurnakannya. Jika perniagaan kita gagal, kita usahakan terus, ubah sana dan sini, baki serah pada Allah. Jika rumah tangga kita gagal, kita usahakan untuk perbaiki, baki yang diluar kemampuan kita, kita serah pada Allah.
Orang yang ada konsep muhasabah, muraqabah dan tawakkal akan sentiasa positif di dalam hidupnya. Dia akan sentiasa tenang walaupun musibah itu ibarat bukit yang menghempapnya. Sesungghunya, semua manusia akan diuji dengan musibah, yang membezakan orang beriman atau tidak ialah di hujung ujian.
Jika di hujung ujian dia tetap tidak putus asa, tetap berusaha, tetap tenang, tetap berjuang maka dia adalah pemenang di dalam ujian tersebut..
5.10.09
~Tuhan lebih tahu~
